Pada 27 Januari 2025 (Isnin), jam 10:00 pagi, bertempat di Sisik Medan Ikan Bakar, Kelab Shah Alam, telah diadakan Mesyuarat Majlis Presiden Kali Ke-3 Sesi 2024-2026. Mesyuarat ini dihadiri oleh Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden Wanita, Setiausaha, dan Bendahari. Selain itu, isteri Presiden dan isteri Timbalan Presiden turut hadir sebagai pemerhati.
Antara agenda utama perbincangan adalah menetapkan penganjuran Majlis Jamuan Raya pada 20/04/2025 (Ahad) jam 10:00 pagi, yang akan diselaraskan dengan Hari Alumni 2.0 dan Mesyuarat Agung Tahunan, yang akan berlangsung tanpa agenda pemilihan. Lokasi majlis masih dalam pertimbangan, dengan beberapa tempat cadangan termasuk Hotel UiTM di Seksyen 1, Shah Alam; Dewan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Seksyen 14, Shah Alam; atau Dewan Tanjung di SMK Seri Tanjung, Kuala Selangor. Anggaran bayaran penyertaan adalah antara RM75 untuk ahli dan RM100 untuk Ahli Jawatankuasa. Walaubagaimanapun, perkara ini masih dalam penelitian.
Selain itu, mesyuarat juga membincangkan perubahan isi kandungan Perlembagaan Persatuan yang akan dimurnikan, untuk dipersetujui semasa mesyuarat agung itu nanti. Tujuan perubahan ini adalah untuk memastikan perlembagaan persatuan selaras dengan undang-undang semasa, meningkatkan keberkesanan operasi dan pengurusan, memenuhi keperluan ahli yang semakin berkembang, serta memperkenalkan mekanisme ketelusan dan akauntabiliti untuk pembangunan berterusan dalam menghadapi cabaran masa depan.
Di samping itu, satu kunjungan hormat ke rumah Penaung Persatuan, Yang Berbahagia Tan Sri Haji Zainal bin Dahalan, dirancang dan dijadualkan pada 25 Februari 2025 (Selasa), jam 10:00 pagi di Petaling Jaya. Tujuan kunjungan hormat ini adalah untuk menunjukkan penghargaan dan mempererat hubungan antara persatuan dengan penaungnya.
Mesyuarat turut memutuskan untuk memohon kebenaran pihak sekolah bagi menggunakan salah sebuah rumah guru yang kosong dalam premis sekolah untuk kegunaan pejabat operasi persatuan, bagi memastikan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan mudah diakses oleh ahli persatuan.
Dalam masa terdekat, Timbalan Presiden juga akan mengadakan lawatan untuk menilai beberapa lokasi ladang penternakan bagi tujuan penempahan lembu korban sempena Hari Raya Haji yang akan datang.